Sunday, November 14, 2021

Belangsungkawa buat 'Ayah-ayah'

Tiga lagi ‘ayah’ telah meninggalkan kami , yg dikira sebagai  ahli senior di kalangan keluarga suria dialisis. Pak cik Hamid  pakcik megat dan pakcik mulub. Pak megat terlebih dahulu meninggalkan kami. Seorang ayah yg suka bergurau2  manja, walau kakinya terpaksa di potong akibat gangrene,   namun  dia sentiasa cuba ceriakan keadaan dgn lawak beliau.  Kekadang pn rubiah (sister center) sering baran dgn pak megat kerana kerap datang lambat dan lupe hari rawatan dialisis. " Aduh dh tua2 ni byk lupe la" . Bgitula alasan yg sama digunapakai oleh pak megat.  Meja pak megat selalunya meriah dgn tuperware pelbagai jenis biskut namun tidak pernah ku lihat dia menjamah. Pak megat agak sensitif orangnya. Jika anaknya lewat dtg menjemput setelah tamat dialisis, beliau akan berjalan kaki balik seorg diri. Jenuh dan kelam kabut anknya itu mencari ayahnya di lorong lorong jalan. Namun sejak kebelakangan, pak megat jrg dtg dialisis hingga ku tahu dimasukkan wad kerana demam , muntah2 dan cirit birit. Namun berita pemergian beliau telah lantas diterima, akhirnya beliau dijemput 'pulang'sejak tidak dtg lagi rawatan dialisis beberapa minggu. Pak megat meninggalkan kami pada usia pertengahan 60an.

Pak Hamid pula org dikira ayah kami yg paling tua buat rawatan dialisis di suria. Beliau difahamkan seorg pesara pegawai krajan bertaraf jusa , tak hairan kalau dilihat cara pemakaian beliau. Berseluar slack dan dan berkemeja lengan panjang. Aku jrg bersembang dan bertegur tpi beliau jelas kelihatan seorg yg begitu teliti dan bersemangat tinggi. Dlm usia 80an namun mampu berjalan laju seperti org muda. Dia tidak membenarkan nurse lain utk mencucuk jarum kecuali sister  puan rubiah. Dan yang pasti, yg tidak dpt aku lupe tentang pak hamid adalah beliau akan meraung kesakitan setiap kali  bila dicucuk jarum haemodialisis. Takut aku dengar kdg2. Seperti pak megat, pak hamid juga mula byk skip dtg ke dialisis. Sehingga yg terakhir beliau kelihatan terlalu lemah dan terpaksa di papah oleh anak yg menghantar beliau ke center. Namun pak hamid masih enggan  berkerusi roda, digagahi utk berjalan sendiri.  Beberapa minggu sebelum itu keluarga pak hamid maklum bahawa dia kelihatan kurang sihat dan lemah namun enggan ke hospital. Beberapa hari pak hamid terlantar di rumah. Dia menghembus nafas terakhir di kediaman beliau sendiri di pagi jumaat yg renyai. 

Pak mulub pula adalah seorg veteran perang, dari kor renjer,  usia awal 70an. Ramah dan sering kerap menegur aku sambil gaya salute seorg pegawai. Itulah askar lama, yg sentiasa hormati pegawai, dan jalankan tugas dengan penuh setia mengikut arahan. Hebatnya pak mulub, beliau pnah di tembak semasa operasi dibhgian dada. Ternyata jiwa perwira tidak pnh mengenal erti kalah, berjuang selagi bernafas. Bak pepatah renjer iban,' agi idup agi ngelaban' . Ank pak mulub, ustaz alias adalah guru agama anak aku disekolah, kami agak rapat. Sebab ust alias akan dtg rumah ku hujung minggu utk kelas tuisyen bahasa arab dan mengaji. Aku pnah bersama pak mulub terlantar di wad , dan aku masih igt anknye ust alias pnh bantu memapah aku yg terkulai hampir pitam setelah abes dialisis. Memberi aku mkn, dan membantu ku kuatkan semangat. Namun pak mulub terlalu kerap di kejarkan ke wad , kerana  kesan dan komplikasi dialisis. Hingga yg terakhir, beliau terpaksa di masukkan ke icu, kerana paru2 telah mula dimasuki air. Pak mulub mampu bertahan seminggu dua di icu sehingga ku terima berita dia telah pergi selama lamanya pada khamis mlm jumaat. 

Doa aku tiga orang ‘ayah’ ini sentiasa tenang di alam yang baru setelah sekian lama bertahan sebagai pesakit dialisis. Moga perjuangan mereka diredhai Tuhan. Al fatihah.

Wednesday, November 10, 2021

Gempita Gegar Bedilan (Ode to Malaysian Gunners)

 

Catatan ini dikarang sempena menjelang hari ulangtahun bumi kelahiran . Di kesempatan ini, ingin dititipkan  sebuah kisah pejuangan  yang mungkin asing dibibir dan telinga kita. Nama-nama mereka tidak diukir gah di dalam lipatan sejarah merah bangsa. Kisah -kisah mereka tidak  ditugukan untuk tatapan generasi-generasi yang mendatang. Apatah lagi untuk meminta dikalungkan bunga-bunga rampai di pusara mereka  sebagai perwira bangsa. Ini adalah kisah pejuang yang tidak menagih sanjungan, walau darah telah dipertaruhkan demi negara tercinta.

Sejarahnya bermula hampir seiring dengan tarikh kelahiran tanah ini. Pada 15 Ogos 1957, di sebuah Kem di Kajang, seramai 89 anak watan telah berikrar memberanikan diri untuk mempertahankan segenap lapisan tanah  daripada petualang negara. Mereka ini adalah pelopor di kalangan anak-anak muda yang digelar sebagai anak-anak meriam  di dalam Malayan Federation Battery. British sebelum itu ragu akan kemanpuan warga tempatan untuk menyertai pasukan meriam yang memerlukan ketangkasan  mengendali  kerumitan senjata ini. Namun mereka ini adalah anak- anak muda berjiwa kental di sebalik dentuman halilintar  yang telah mengugah-gerunkan semangat musuh. Di sebalik setiap  letusan dan debu kiamat daripada tembakan meriam ini, berdiri gagah anak-anak-anak muda berjiwa besar. Ketangkasan mereka menghancur-leburkan musuh dengan ketepatan sasaran di kedudukan musuh tidak dapat disangkal dan dibandingkan. Ini bukan kerja mudah kerana silap langkah, akan bencana pada sahabat sendiri. Dan tanpa mereka ini, amatlah sukar untuk sesebuah pasukan infantri  untuk bertahan dan  melancarkan serangan.

Sejak tertubuhhnya  pasukan ini, peranan dan perjuangan mereka amat penting. Anak- anak meriam ini telah  menghadapi pelbagai ancaman bermula sejak darurat, konfrantasi sehingga lenyapnya militan komunis di negara ini. Dentuman tembakan  sulung dengan meriam jenis 25 pounder, dibedil dengan jayanya oleh PW II Ahmad Tajudin pada Oktober 1957 di Sri Menanti, Negeri Sembilan dalam operasi membantu  SAS New Zealand . Mereka juga  diaturgerakkan di kawasan Rawang -Kuala Kubu Baru  yang bermula dengan operasi  serangan udara Lincoln Bombers dari Singapura ,  diikuti dengan tembakan meriam dan mortar sebelum pasukan Askar Melayu melancarkan operasi penggeledahan mencari dan memusnah. Pasukan ini seterusnya diarahkan mengambil kedudukan di tapak meriam  di sekitar jalan  Bentong-Karak dan melepaskan tembakan mengharu ke arah selatan dan barat jalan utama dan berjaya memusnahkan penempatan musuh-musuh. Di utara Semenanjung Malaya,  mereka mengambil kedudukan tapak meriam di Sintok dalam membantu batalion Askar Melayu dengan melancarkan beberapa  jenis tembakan di kawasan yang disyaki pendudukan komunis. Setelah  ditamatkan operasi tersebut di sekitar Oktober 1960, pasukan meriam terus diaturgerakkan di kawasan Kuala Nerang, di mana mereka terpaksa mengharungi Sungai Terap dan Sungai Pedu untuk menduduki tapak meriam bagi melancarkan bantuan tembakan. Tembakan mengharu dilaksanakan bertubi-tubi  telah melemahkan semangat musuh dan memudahkan operasi penggelidahan oleh pasukan infantri. Setelah selesai operasi, disebabkan tempat menyeberang telah ditenggelami air, pasukan meriam telah dikeluarkan menggunakan rakit.

Pada 1963 sekali lagi negara digemparkan  dengan pengesanan  pasukan payung terjun Tentera Indonesia mendarat  di sekitar  kawasan  Thungamalu Estate di Kluang  yang memulakan krisis  Konfrantasi dengan negara jiran semasa pemerintahan Soekarno.  Rejimen Meriam telah diarahkan untuk melaksanakan tugas rondaan hutan, tepi laut dan melakukan serang hendap di kawasan pendaratan tentera Indonesia. Platun diketuai oleh  pegawai-pegawai meriam iaitu Lt. M. Hasaan dan Lt. Herman telah melaksanakan operasi pembersihan sejauh 6000 ela bagi menjejak musuh yang disyaki telah berada di kawasan tersebut. Beberapa anggota meriam ditugaskan sebagai pegawai perhubungan kepada  pasukan Gurkha dari tentera British. Bantuan tembakan meriam secara langsung telah diberikan kepada tentera Gurkha yang menjalankan operasi di kedudukan berhampiran. Serang hendap telah dilakukan pada sebelah malam dan dengan ketangkasan salah seorang anak  meriam, Gunner Chew Ling telah bertempur dan berjaya menembak mati seorang tentera Indonesia yang menyamar berpakaian awam .  Di samping itu juga, dua orang tentera  Indonesia telah berjaya diberkas oleh platun meriam yang di ketua Lt.  Berinder Singh.

Selain daripada operasi Konfrantsi di Semenanjung, pasukan meriam juga telah diaturgerakkan di kawasan Sabah dan Sarawak dalam membantu operasi sejak tragedi  di Kalabakan. Beberapa pucuk meriam di tempatkan di Wallace Bay, Batu Lintang,  Lubuk Antu dan Nangga Jambu untuk memberi bantuan tembakan kepada Rejimen 1/10 Gurkha. Tapak meriam di ketuai beberapa pegawai meriam iaitu Lt. M. Bakar Saleh, Lt Wan Nor , Lt M Hon Hong Kuang.  Meriam-meriam digerakkan ke lokasi kira-kira 4000 ela daripada sempadan Malaysia- Indonesia dengan menggunakan helicopter jenis Belvedere. Pasukan meriam telah mengambilalih tugas daripada 45th Royal British Regiment di Batu Lintang pada tarikh keramat  22 dan 23 Januari 1965 , di mana satu insiden yang mengerikan telah berlaku. Kedudukan pasukan meriam  telah dibedil  oleh tentera Indonesia  dengan menggunakan meriam howitzer di jarak kurang daripada 800 meter. Anak-anak Meriam terselamat di sebalik kubu-kubu meriam yang di bina  dan merea tidak dapat melakukan tembakan balas disebabkan risiko penempatan-penempatan rumah panjang yang berhampiran.

Pada waktu kerajaan tanah melayu berada dalam keadaan darurat sekitar tahun 1948 hingga 1960, gerakan mencari dan memusnah musuh yang dijalankan oleh pasukan infantri mendapat perlindungan dan bantuan tembakan daripada pasukan meriam. Operasi membenteras komunis dilaksanakan secara berterusan di negeri Perak, Pahang , Kelantan termasuk  penempatan bersempadanan dengan negara Thailand iaitu di Betong Salient dan Sadoa. Dalam salah satu operasi di bawah   kawalan beberapa pegawai pemerhati hadapan meriam iaitu  Kapt Zainal Din, Lt Mokhtar Perman dan Lt Kamaruddin telah mengarah tembakan yang memaksa pengganas komunis keluar dari kawasan persembunyian. Hampir 1200 butir peluru letupan kuat, asap White Phospurus , asap kuning dan peluru suaran telah ditembak terhadap kedudukan musuh. Melalui laporan  yang diperolehi, kesan tembakan meriam tersebut  telah berjaya membunuh 24 pengganas komunis dan dianggarkan 17 mengalami kecederaan parah.

Di dalam  salah satu  operasi , pasukan meriam terpaksa menduduki kedudukan yang sukar demi memberi bantuan tembakan kepada pasukan infantri yang menjalankan operasi mencari dan memusnah. Tapak Meriam ini merangkumi kawasan Klian Intan, Chantarat , Ban Mak Muang , Ban Kamo, Ban To dan  Ban Khok Chang.  Tembakan meriam berhalilintar di waktu malam telah mengagalkan  pengganas komunis  untuk meneruskan operasi mereka dan  memberi impak psikologi yang melunturkan semangat juang mereka. Dianggarkan hampir 6000 butir peluru telah berjaya dilepaskan ke sasaran bagi menjayakan operasi  yang dikenali sebagai Cahaya Bena. Dengan kejayaan dan ketangkasan pasukan dan anak-anak meriam ini , mereka telah ditugaskan operasi berikutnya  di kawasan Betong Salient dalam membantu pasukan Zulu Skuadron Rejimen Gerak Khas yang melaksanakan serang hendap ke atas kumpulan pengganas komunis. Pegawai meriam Lt Basri Asari dengan tangkas  mengarah tembakan yang  mengorbankan pengganas yang berlindung di penempatan mereka.  Tragedi yang tidak dapat dilupakan di dalam operasi apabila salah seorang pegawai meriam, Lt.  Raja Musa  telah mengalami kecederaan parah akibat terpijak jerangkap samar. Kesan daripada kecederaan itu ,mata beliau telah buta dan kaki kanan terpaksa dipotong.

Beginilah kisah suka duka  pahit maung mereka yang bergelar anak- anak meriam, wira-wira yang tidak didendang. Bukanlah  mudah untuk mengendali dan memastikan tembakan yang tepat  dan cepat dapat dilancarkan sebilang masa  bagi memastikan nyawa pasukan sahabat dapat dilindungi. Ramai anak-anak meriam  yang telah tercedera dan terkorban dalam mengendalikan senjata yang amat berisiko tinggi ini. Kini masa berlalu,  jasa  dan perjuangan mereka dalam melenyapkan dan menggerunkan musuh  terus berlalu sepi.  Nama-nama yang disebutkan di dalam kisah ini, kini berada di celah-celah masyarakat biasa yang mungkin pernah kita sua dan jumpa. Namun di sebalik wajah-wajah yang tidak dikenali itu,  tersimpan kisah perwira yang mengegar- gempitakan medan pertempuran dengan bedilan keramat, agar  setiap inci tanah yang dicintai ini  tidak dinodai oleh musuh durjana.

Andai kita lupa, ingatilah kembali dentuman tembakan 101  das Meriam 25 pounder yang mengiringi laungan pengistiharaan kemerdekaan Tanah Melayu pada detik 31 ogos 1957. Semoga gempita gegar bedilan itu masih lagi  bergaung di segenap penjuru sanubari warga bumi tercinta ini. Selamat menyambut hari Merdeka buat wira-wira  bedilan !