Sunday, June 26, 2011

Doa Kosmopolitan



Silapnya diriku
mencari pengertian di tengah kosmopolitan.
Nikmat yang dijanji bukan yang dimaksudkan.

Sisa selingkuh masih mendamba
menjamu hidangan nikmat
meski cuba giat bersihkan noda
di sepenjuru halaman
yang daun keringnya
masih terus rontok.

Berlima waktu sehari semalam
berusaha juga membersih
ranting kering
kian lama merimbun laman.

Ditingkat bangunan tinggi lampai
kulihat segala kecil kerdil
sebegitu halus lemah Engkau melihatku.
Aku mahu terus bertekad tapi enggan berjanji.
Fana hidup gigit dan himpit segenap lorong sempit
meski daif kusam laluan ini
sentiasa mengharap jalan lurusMu.
Benar benar harap agar temui jalan utama
setelah sesat berlapis-lapis lorong meragukan.

Neon semalam kerdipnya masih
bukan lilin cahaya yang panasnya suci
yang sentiasa aku harapkan.
Tidak lagi ku tebar tikar sejadah kota
tapi mahu lebih berusaha membina bahtera.
Jika ditakdirkan kota kembali banjir
tidak mahu lagi lemas telan asin laut
aku masih cepat berusha
walau senja sudah lama tiba.

Banyak telah dipelajari
tentang dengung sebuah kota
sudah letih lakoni watak pendusta
kononnya semua bahagia
tetapi malam masih saja
mengeluh sengsara.

Jika kali ini aku terpacul lagi
untuk bangkit langkah sekian kali
dengan tampak segak di muka pintu
bagi kembali melangkah,
beri peluang kujadi hamba yang dulu
yang diberi tunjuk jalan lurusnya
yang diberi tangan tolongnya
seperti orang yang dihulur nikmatnya
bukan orang yang dimurkainya dan
di jalan sesatnya.

Suluhi ku jalan terang
meski neon kota selalunya benderang
membawaku ke jalan banyak simpang.
Dan jika ditakdirkan lagi
aku menemui jalan berduri
bantuilah hambaMu ini membuat keputusan
waras berfikir memilih kebenaran
tanpa lagi sebarang alasan.