Bila di bangku sekolah menegah, minat aku mula bercambah di dalam bidang penulisan dan kesusasteraan. Hinggakan aku dan seorang sahabat menubuhkan sebuah kumpulan seni sastera yang dinamakan 'Anak Alam' . Maka pada setiap kali minggu bahasa, kumpulan Anak Anak akan beraksi dengan persembahan pentas drama dan deklamasi puisi. Aku juga tidak lupa setiap kali ade aktivitas sastera di sekitar Lembah Kelang. Masih aku ingat sekitar tahun 90an persembahan teater di MATIC Jalan Ampang, di Kompleks Budaya Negara (baru dirasmikan) dengan drama pentas 'Penyu Menangis' dan 'Wild Duck' karya Henry Ibsen. Beberapa kali mengikuti bicara dan bedah buku di Dewan Bahasa , sempat bertemu dengan penulis-penulis hebat seperti A. Samad Said dan Arena Wati.
Berkunjung ke toko buku juga menjadi rutin kegemaran aku. Masih aku ingat memborong buku ketika jualan murah di DBP dan Pesta Buku Antarabangsa. Minat kepada penulisan sastera semakin bercambah dan aku mula menulis karya-karya sendiri yang sedikitnya ada dimuatkan di dalam majalah sekolah. Inilah kebahagian aku pada ketika itu dan aku menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera apabila telah tamat persekolahan kelak.
Keputusan SPM telah muncul dan aku mendapat keputusan yang agak memuaskan untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Tidak lain, aku memilih jurusan Kesusasteraan Inggeris di sebuah universiti tempatan. Namun aku tidak mendapat sokongan yang kuat daripada orang tua aku yang menganjurkan aku mengambil bidang perniagaan atau sains pengkomputeran. Kebetulan juga pada waktu, terdapat tawaran bagi pengambilan intake pertama akademi tentera. Lebih-lebih lagi orang tua juga berkhidmat dalam bidang tentera, maka mereka amat berharap aku dapat mengikut jejak ayah yang waktu itu amat berjaya dalam profesyenya. Aku menjadi berbelah bagi, kerana tawaran di dalam bidang kesusteraan telah diterima dan pada masa yang sama hasrat orang tua begitu menggunung untuk aku menjadi seorang pegawai tentera. Aku berfikir panjang , tentang keputusan yang bakal dipilih. Bidang penulisan atau sebuah bidang yang tidak pernah wujud dalam kotak fikiran dan sanubari iaitu ketenteraan. Mungkin tidak masuk akal bagi diriku yang berpakaian uniform memberi arahan tegas kepada orang bawahan . Jiwaku tidak pernah terfikir akan memilih bidang tersebut dan adalah mustahil untuk aku jatuh cinta kepada profesyen yang sedemikian. Aku menjadi begitu tertekan, kerana tidak sanggup melepaskan sesautu yang amat aku minati dengan sesautu yang terlalu asing untuk aku ceburi.
Maka ketika itu, aku langkah kan juga untuk pergi menghadiri sesi pemilihan kadet akademi tentera di Kuantan. Ayah tidak dapat dapat menghantar aku kerana dia terlebih awal telah berlepas ke tanah suci untuk menunaikan fardu Haji. Sesi pemilihan agak mencabar dengan menguji kemampuan intelek dan fizikal , namun tidak disangka aku berjaya melepsi semua sesi ujian yang diadakan . Aku berjaya hingga ke peringkat temuduga akhir dan kemudian ditawarkan untuk mengikut pengajian selama 5 tahun di akademi ini. Setelah tamat latihan dan pengajian, aku akan ditauliahkan sebagai seorang pegawai di dalam perkhidmatan tentera. Setelah melangkah keluar dari dewan temuduga, fikiran ku masih berbelah bagi untuk menerima tawraran itu dan aku diberi masa beberapa hari untuk membuat keputusan . Dalam tempoh seminggu aku perlu melapor ke pusat latihan tempur tentera darat di Ulu Tiram, Johor Baru.
Aku masih berbelah bagi untuk membuat keputusan . Selang sehari kemudian ayah telah meghubungi aku melalui telefon dari Tanah Haram dan bertanyakan tentang sesi pemilihan tempohari. Ayah begitu gembira bila mendengar aku telah berjaya melepasi semua ujian dan mendapat tawaran tersebut. Dalam samar-samar suara ayah aku mendengar betapa tinggi harapannya untuk seorang daripda anak mengikut jejak langkahnya. Sedangkan aku anaknya ini masih ragu-ragu di dalam hati. Ayah dalam nadanya yang tidak pernah memaksa aku menjadi pegawai tentera, namun aku amat memahami hasrat yang terlubuk di dalam hatinya.
Akhirnya naluri aku berkata sendiri, ' Apakah yang lebih bahagia dalam hidup daripada membahagia kedua orang tuamu' . Dengan dorongam semangat bisikan itu, pada 5 Jun 1995, keretapi meluru deras dari kuala lumpur ke Johor membawa aku ke satu dunia baru yang tidak pernah ku fikirkan. Aku meninggalkan minat yang penah terpendam selama ini
Aku telah memilih sebuah dunia kehidupan baru yang telah mengubah nasib ayahku satu ketika dulu.
Kini 25 tahun telah berlalu, arwah ayah telah lama meninggalkan kami sekeluarga. Aku kini memahami hasrat ayah dahulu yang inginkan anak mengikut jejaknya. Hidup aku di dalam perkhidmatan tidaklah mewah ruah namun sentiasa cukup dengan rezeki tidak terputus. Namun mungkin aku tidak berjaya seperti kedudukan pangkat arwah ayah dalam perkhidmatan. Bila setiap kali menziarahi kubur ayah, aku mengharap dia tersenyum bangga dengan diriku. Teringat satu ketika dahulu semasa di akhir-akhir hayat ayah, pernah dia berkata kepada seorang sahabatnya , sambil memperkenalkan aku, '.. ini anak aku , dia seorang pegawai tentera, berpangkat Mejar sekarang..
Apa lagi yang lagi lebih membahagiakan......
Kini 25 tahun telah berlalu, arwah ayah telah lama meninggalkan kami sekeluarga. Aku kini memahami hasrat ayah dahulu yang inginkan anak mengikut jejaknya. Hidup aku di dalam perkhidmatan tidaklah mewah ruah namun sentiasa cukup dengan rezeki tidak terputus. Namun mungkin aku tidak berjaya seperti kedudukan pangkat arwah ayah dalam perkhidmatan. Bila setiap kali menziarahi kubur ayah, aku mengharap dia tersenyum bangga dengan diriku. Teringat satu ketika dahulu semasa di akhir-akhir hayat ayah, pernah dia berkata kepada seorang sahabatnya , sambil memperkenalkan aku, '.. ini anak aku , dia seorang pegawai tentera, berpangkat Mejar sekarang..
Apa lagi yang lagi lebih membahagiakan......
No comments:
Post a Comment