Tuesday, July 14, 2020

Apa lagi lebih yang membahagiakan...

Sepanjang riwayat hidup setakat ini, banyak cerita suka dan duka bersilih ganti. Aku tidak mampu untuk mengira  mana yang lebih kerana rata-rata duka itu tekadang membawa bahagia. Terkadang juga gembira dan senyum tawa itu membawa kepada duka. Maka dalam kedua-duanya aku mencari titik kebahagian yang tersirat seribu makna.  Untuk  menjadi khazanah membuat hidup aku aku lebih bererti.

Bila di bangku sekolah menegah, minat aku mula bercambah di dalam bidang penulisan dan kesusasteraan. Hinggakan aku dan seorang sahabat menubuhkan sebuah kumpulan seni sastera yang dinamakan 'Anak Alam' . Maka pada setiap kali minggu bahasa, kumpulan Anak Anak akan beraksi dengan persembahan pentas drama dan deklamasi puisi. Aku  juga tidak lupa setiap kali ade aktivitas sastera  di sekitar Lembah Kelang. Masih aku ingat sekitar tahun 90an persembahan teater di MATIC Jalan Ampang, di Kompleks Budaya Negara (baru dirasmikan) dengan drama pentas 'Penyu Menangis' dan 'Wild Duck' karya Henry Ibsen. Beberapa kali mengikuti bicara dan bedah buku di Dewan Bahasa , sempat bertemu dengan penulis-penulis hebat seperti A. Samad Said dan Arena Wati.

Berkunjung ke toko buku juga menjadi rutin kegemaran aku. Masih aku ingat memborong buku ketika jualan murah di DBP dan Pesta Buku Antarabangsa. Minat kepada penulisan sastera semakin bercambah dan aku mula menulis karya-karya sendiri yang  sedikitnya ada dimuatkan di dalam majalah sekolah. Inilah kebahagian aku pada ketika itu dan aku menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera apabila telah tamat persekolahan kelak.

Keputusan SPM telah muncul dan aku mendapat keputusan yang agak memuaskan untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Tidak lain, aku memilih jurusan Kesusasteraan Inggeris di sebuah universiti tempatan. Namun aku tidak mendapat sokongan yang kuat daripada orang tua aku yang menganjurkan aku mengambil bidang perniagaan atau sains pengkomputeran. Kebetulan juga pada waktu, terdapat tawaran bagi pengambilan intake pertama akademi tentera. Lebih-lebih lagi orang tua juga berkhidmat dalam bidang tentera, maka mereka amat berharap aku dapat mengikut jejak ayah yang waktu itu amat berjaya dalam profesyenya. Aku menjadi berbelah bagi, kerana tawaran di dalam bidang kesusteraan telah diterima dan pada masa yang sama hasrat orang tua begitu menggunung untuk aku menjadi seorang pegawai tentera. Aku berfikir panjang , tentang keputusan yang bakal dipilih. Bidang penulisan atau sebuah bidang yang tidak pernah wujud dalam kotak fikiran dan sanubari iaitu ketenteraan. Mungkin tidak masuk akal bagi diriku yang berpakaian uniform memberi arahan tegas kepada orang bawahan . Jiwaku tidak pernah terfikir akan memilih bidang tersebut dan adalah mustahil untuk aku jatuh cinta kepada profesyen yang sedemikian. Aku menjadi begitu tertekan, kerana tidak sanggup melepaskan sesautu yang amat aku minati dengan sesautu yang terlalu asing untuk aku ceburi.

Maka ketika itu, aku langkah kan juga untuk pergi menghadiri sesi pemilihan kadet akademi tentera di Kuantan. Ayah tidak dapat dapat menghantar aku kerana dia terlebih awal telah berlepas ke tanah suci untuk menunaikan fardu Haji. Sesi pemilihan agak mencabar dengan menguji kemampuan intelek dan fizikal , namun tidak disangka aku berjaya melepsi semua sesi ujian yang diadakan . Aku berjaya hingga ke peringkat temuduga akhir dan kemudian ditawarkan untuk mengikut pengajian selama 5 tahun di akademi ini. Setelah tamat latihan dan pengajian, aku akan ditauliahkan sebagai seorang pegawai di dalam perkhidmatan tentera. Setelah melangkah keluar dari dewan temuduga, fikiran ku masih berbelah bagi untuk menerima tawraran itu dan aku diberi masa beberapa hari untuk membuat keputusan . Dalam tempoh seminggu aku perlu melapor ke pusat latihan tempur tentera darat di Ulu Tiram, Johor Baru.

Aku masih berbelah bagi untuk membuat keputusan . Selang sehari kemudian ayah telah meghubungi aku melalui telefon dari Tanah Haram dan bertanyakan tentang sesi pemilihan tempohari. Ayah begitu gembira bila mendengar aku telah berjaya melepasi semua ujian dan mendapat tawaran tersebut. Dalam samar-samar suara ayah aku mendengar betapa tinggi harapannya untuk seorang daripda anak mengikut jejak langkahnya. Sedangkan aku anaknya ini masih ragu-ragu di dalam hati. Ayah dalam nadanya yang tidak pernah memaksa aku menjadi pegawai tentera, namun aku amat memahami hasrat yang terlubuk di dalam hatinya.

Akhirnya naluri aku berkata sendiri, ' Apakah yang lebih bahagia dalam hidup daripada membahagia kedua orang tuamu' . Dengan dorongam semangat bisikan itu,  pada 5 Jun 1995, keretapi meluru deras dari kuala lumpur ke Johor membawa aku ke satu dunia baru yang tidak pernah ku fikirkan. Aku meninggalkan minat yang penah terpendam selama ini 
 Aku telah memilih sebuah dunia kehidupan baru yang telah mengubah nasib ayahku satu ketika dulu.

Kini 25 tahun telah berlalu, arwah ayah telah lama meninggalkan kami sekeluarga. Aku kini memahami hasrat ayah dahulu yang inginkan anak mengikut jejaknya. Hidup aku di dalam perkhidmatan tidaklah mewah ruah namun sentiasa cukup dengan rezeki tidak terputus. Namun mungkin aku tidak berjaya seperti kedudukan pangkat arwah ayah dalam perkhidmatan. Bila setiap kali menziarahi kubur ayah, aku mengharap dia tersenyum bangga dengan diriku. Teringat satu ketika dahulu semasa di akhir-akhir hayat ayah, pernah dia berkata kepada seorang sahabatnya , sambil memperkenalkan aku, '.. ini anak aku , dia seorang pegawai tentera, berpangkat Mejar sekarang..

Apa lagi yang lagi lebih membahagiakan......



Saturday, July 4, 2020

Birthday Wishes

Thanks to Muhammad Hafiz for this sincere and meaningful pieces. May you given strenght to battle on the war within yourself...

[04/07, 22:40]
Esok genap usiaku 43 tahun
Telah pelbagai rencah dan rasa kulalui
Pelbagai kerenah manusia telah kulihat
Perjalanan Ku ini bukan lah penuh dengan cahaya ibarat sang suria
Namun, kadangkala perjalanan hidupku penuh dengan kegelapan
Ah, itulah yang mematangkan hidupku 
Kini, aku mengharapkan biarlah sisa usiaku diisi dengan kebaikan Yang Esa
Biarlah kisah silamku menjadi cerita yang tidak akan aku lupakan
Dan menjadi pengajaran buat mengisi sisa hidupku.

[05/07, 00:03] 
Selamat Ulang Tahun yang ke-43 abang..semoga dengan pertambahan usia ini, abang akan menjadi seorang yang lebih matang dalam menjalani ujian hidup. Jadilah anak yang baik untuk bonda abang, suami yang baik untuk teman hidup abang, ayah yang baik untuk puteri abang. Ketahuilah masih ramai yang masih sayangkan abang. Jadilah seorang Shamyl Shalyzad yang tidak mudah mengalah, yang cendekiawan, dan juga yang kuat menghadapi liku hidup. Dan terima kasih sudi menerima saya sebagai seorang kawan dan juga adik kepada abang.

5 jul 2020

5 jul 2020, im turn to 43 , the age of our beloved prophet  propels on important mission in his life to convey truth to mankind. I dont have much time anymore. May Allah bestow me with strenght, perseverence and wisdom to complete this journey with blessed ending.

Wednesday, July 1, 2020

Bencana

Bencana

Dulu masa terluang
Kerapku abaikan.
Kini aku bijak berkata
Andai tubuh masih perkasa
Tentu kumiliki masa lampau
rintang galau  pasti ku langkau..

....bencana apakah diriku ini.

Seremban 1 jul 2020.

Thursday, June 25, 2020

Bertemu Rozan

'Maka bila lagi nak jumpa ? Dah puluhan purnama menunggu'.

Itu lah whatsapps daripada sahabat seseni, sesastra sejak zaman sekolah. Dan aku tidak mahu terlepas lagi untuk bertemu dengan beliau kali ini. Dengan kebetulan ada urusan di rumah ibu di Ampang. Pasti boleh berborak panjang lagi dengan seribu satu topik. Pastinya juga tentang hal politik, sastera dan buku.

Rozan menetap Taman Koperasi Polis Fasa 2 Batu Muda di Gombak. Telah lama tidak bersekitaran di situ maka jalan ke rumah beliau telah samar -samar dalam ingatan. Hanya dengan bantuan google map mampu kereta aku meluru ke destinasi untuk bertemu Rozan di kawasan rumahnya. Perjalanan tidaklah jauh mana, kurang lebih 25 minit dari Ampang , disingkatkan melalui laluan Hiway DUKE. Ternyata Kuala Lumpur telah jauh berubah dan membangun, dengan simpang -siur hiway bertingkat.

Akhir bertemu juga dengan Rozan , di sebuah kedai makan di tepi jalan , berderetan dengan kedai- kedai di Taman Koperasi Polis Gombak. Aku berlangkah panjang , Rozan bersama dua orang sahabat lain, dan salah seorang adalah Mohamad Daud Mohamad ,  nama seperti  penah aku kenal dahulu.

'Mohamad Daud Mohamad? Bukankah dia nama besar dalam kritikan teori sastera zaman aku berkecimpung dalam dunia penulisan dulu? ' Benakku tertanya. Laaa betulah dia. Memang telah kujangka, jika bertemu Rozan, pasti akan juga bertemu dengan orang-orang hebat lain yang dikenalinya.

Mohamad Daud Mohamad kelihatan bersahaja , berpakaian simple t-shirt dan berjeans. Cermin mata bertali tergantung dilehernya. Rupa beliau tidak sehebat zaman kegemilangan sastera dulu. Namun fikirannya masih petah dan ideanya deras mengalir apabila berbicara. Kami berbicara bermacam-macam hal , sedang Rozan minta diri sebentar kerana ada urusan tentang pengkebumian Allahyarham Subky Latiff, nama seorang lagi  penulis yang tidak kurang hebat satu ketika dulu. Aku bertanya pada Pak  Daud masihkah beliau menulis atau ada mengarang karya-karya kreatif . Jawapnya dengan nada yang agak sedikit kecewa,  " Masihkah kita ada khalayak pembaca karya-karya yang berat, pembaca tegar kini hanya segelintir. Natijah yang hendak disampaikan tidak berkesan lagi melalui penulisan. Mungkin kini orang ramai minat politik, tapi memunggah soal politik dalam penulisan hanya akan membuka pekung bangsa sendiri."

Borak bersahaja dengan Pak Daud banyak ungkap kisah sasterawan dulu yang kini namanya seakan pudar di khalayak pembaca. Saya tersenyum puas bila Pak Daud banyak bercerita tentang  Pak Arena Wati yang beliau anggap penulis Avant Garde tulen yang melayu penah lahirkan. Dia dengan nada sayu meluahkan rasa hampa tentang pengabaian masyarakat sastera untuk menghayati karya Bapak Arena Wati. Sempat juga aku bertanya pada Pak Daud siapa gerangan bakal sasterwan negara ? Dengan selambanya dia menjawap selayaknya adalah Malim Ghazali PK, namun tuhan telah menjemputnya lebih awal. Kini serasa tiada siapa yang paling layak lagi.

Seketika kemudian, Rozan kembali dari urusan beliau dan mendampingi kami berdua dalam bicara kedai kopi tepi jalan. Pak Daud kemudian mengundur diri, kerana ada urusan lain. Aku dan Rozan bercadang mencari tempat lebih sesuai untuk sambung borak panjang. Lantas kenderaan aku meluru mencari spot di Setapak Mall. Temui sebuah cafe yang selesa dan menjamah sadwiches sebagai makan tengahari ala orang diet.

Rozan berkongsi beberapa karya penulisan beliau, iaitu naskah tulisan di dalam antologi esei. Aku sempat menjamah tulisan Rozan kesemuanya. Menurut Rozan dalam 5 tahun  kurang lebih 8 penulisannya berjaya tercatat dalam penerbitan buku. Aku amat bangga kerana aku satu pun tiada. Antara buku yang dibawa oleh Rozan yang memuatkan penulisan beliau adalah Corat-coret Pesta Buku Antarabangsa, Semangat Darah Muda dan  Apa Yang Lebih Membahagiakan. 

Mungkin soalan yang lebih bergejolak yang ingin ditanya kepada Rozan adalah tentang politik. "Apakah sebenarnya yang telah terjadi dengan politik kita? , apakah permasalahan akar umbinya?"

"Semua sedar tentang wujudnya 2 kem dalam PKR , satu kem Azmin dan satu lagi kem Rafizi. Apabila Azmin berjaya mengatasi Rafizi wujud pertentangan yang mula membuak. Bila Anwar dibebaskan, dia telah melantik puak-puak Rafizi dulu di dalam parti yang kini mula kembali menentang Azmin. Pada aku ia berpunca kegagalan Anwar untuk mengawal parti. Anwar ambil mudah dalam meredakan golongan- golongan yang mula bertelagah. Bila video Azmin tersebar, Anwar seperti tidak mahu mempertahankan Azmin dalam tuduhan skandalnya. Kem Azmin merasakan bahawa Anwar telah dipengaruhi oleh puak-puak  Rafizi dahulu yang dia sendiri telah bawa ke dalam parti." Rozan berhujah serius.

Aku meneliti penjelasan Rozan dangan setia dan diam. Mengangguk dan mula memahami apa yang sedang berlaku. Ini analisa first handed daripada seorang sahabat yang benar -benar pernah jatuh bangun dalam memperjuangkan reformasi. Bagiku ini satu pemahaman yang berguna tentang politik tanah air, bagi orang layman seperti aku.

Rozan dulu merupakan Naib Ketua Cabang dan mantan Setiausaha Politik Timbalan Menteri Pertanian. Satu pencapaian yang aku bangga sebagai kenalan rapat sepersekolahan. Kini beliau agak terkapai setelah pergolakan parti PKR dan lantaran ambil alih kerajaan baru. Jawatan Rozan sebagai naib ketua cabang digantung dan kini beliau  mencari sumber rezeki dalam bidang perniagaan dengan kenalan. Ini mungkin menjadi platform baru bagi beliau untuk berganjak maju dalam bidang ini dan juga boleh menjadi batu loncatan untuk perjuangan politiknya.

"Sekarang kita perlu meluaskan jaringan pelbagai bidang dalam pemahaman politik. Contoh seperti group whatsapp NGO yang aku  cetuskan sendiri. Ia bermatlamat untuk memberi ruang kepada para seniman dan karyawan dalam mencicipi kancah politik negara terkini. Aku berhasrat melahirkan golongan seniman dan karyawan yang celik politik dan hangat menghasilkan gagasan baru  dalam menentang ketidak- adilan politik."

Aku amat bersetuju dengan fikiran Rozan. Kita kini perlu bersifat Inter-dependent dalam memacu negara, agar tidak ada bidang yang akan tubuh pulaunya sendiri, tidak merasa diri di dalam kasut orang lain. Akan wujudnya hambur fitnah, lekehen yang tidak berkesudahan kerana gagal memahami kebenaran yang sebenar dari sudut yang berbeza.

Dalam dunia perniagaan pula Rozan kini menghadapi pelbagai isu pengurusan sumber manusia. Ternyata di alam bisnis ada cabar cemasnya tersendiri. Dia banyak menghadapi kerenah pekerja yang memberontak disebabkan masalah pengurusan dalaman. Terdapat juga pekerja yang mula angkat tangan ingin mengundur diri . Tak sanggup untuk jatuh bangun dalam memperjuangkan bisnis ini. Rozan banyak menyelesaikan masalah dalaman , terutamnya jurang komunikasi antara superior dan pekerja. Bagi aku Rozan telah menjadi HR Manager yang berhemah dan berjaya. HR adalah bidang akademik kepakaran aku. Bidang yang perlu banyak menggunakan common sense dalam menguruskan manusia yang mempunyai pelbagai gejolak perasaan.

Aku tidak dapat untuk berlama- lamaan dengan Rozan pada kali ini kerana terpaksa bergegas ke Seremban. Bertemu Rozan adalah urusan rutin yang telah aku lama diabaikan. Aku menghantar Rozan hingga pintu rumah di Lorong 47/10 Taman Koperasi Polis. Kami bercadang bertemu lagi, kali ini bercadang untuk berkunjung ke rumah guru guru sekolah zaman menegah.

Sejenak kereta aku meluru jauh dari rumah rozan, aku sempat melihat kelibat beliau dari side mirror kereta. Rozan yang sentiasa berpakaian formal, berkemeja kemas, rambut lembab bersikat rapi. Gaya yang tidak sedikit pun berubah sejak zaman sekolah di SJI Bukit Nanas. Dan dia juga tetap Rozan yang aku kenal yang  masih tidak berganjak sedikit pun memperjuangkan reformasi demi negara tercinta.

Sunday, June 14, 2020

Pertemuan : Sebuah Cerpen Pendek




Telah lama hidup dia sunyi, malah dia dilahirkan sebagai seorang yang bersifat introvert. Dalam sepi hidupnya,  tercoret banyak sejarah sejarah hitam yang membelenggu diri. Tinta dosa yang diseret ke setiap kaki hari, hingga rasa punah untuk hasrat menjadi insan yang mulia. Dia merasakan tidak ada gunanya  untuk meletakkan harapan yang bergunung tinggi. Kerana dia sedari dan sering membisikkan kepada diri sendiri,  ' aku dan dosa adalah satu, di bumi mana akan aku berpijak dan mengembara membawa diri, ia adalah teman yang tidak pernah lepas daripada diri  '.

“ Engkau harus mencari seorang teman, seorang wanita yang redup dari pandangan engkau, yang kau rasa selesa berbicara, yang dapat berkongsi dengan derita yan kau yang di alami”  .

Dia tidak pernah menafikan  akan benarnya pandangan sahabatnya itu. Tapi bukan mudah, untuk bertemu dengan seseorang gadis yang mampu bertoleransi dengan kisah hitam sejarah hidupnya. Yang mampu mendengar setiap cerita jijik lorong hitam di tengah hangat bauran tengik dosa. Tidak  ada siapa yang akan hendak mendampingi apatahlagi mendekati.

“Mungkin gadis itu punyai minat yang sama” ujar sahabat karibnya lagi. “Dia minat buku buku dan karya sastera, menulis catatan diari hidupnya seperti engkau”.

Mungkin sahih dan benar kata-kata sahabatnya. Dia mudah teruja dengan  seseorang wanita yang mampu menelaah karya karya berat sastera, atau buku buku non fisksi sejarah dunia. Mungkin tidak ramai di luar sana, mungkin dia mampu cuba menyapa melewati  media sosial Facebook  atau twitter. Dia meneka-neka hasratnya akan berbuah hasil. Namun hatinya masih ragu, tidak ada manusia bernama lelaki yang lebih teruja dari sosok tubuh wanita yang mahu dijamah. Cerita kononnya minat yang sama itu cuma prelude untuk misi seterunya mendapatkan wanita itu  untuk di bawa ke dalam ķamar untuk melangsai hasrat sebenar. Ya, itu yang paling jelas di hatinya. Baginya tulus bening sebuah sanubari  itu telah lama mati.

                                                  ########

Namun semua yang diangap sebagai khayalan utopia  memang benar benar berlaku. Dia disapa oleh seorang gadis yang redup dari pandangan mata dan hatinya.  Senyuman dan sosok rupa di profil Facebook membuat dia terbang melayang dan yang lebih mengujakan adalah  gadis tersebut adalah pembaca tegar karya karya sastera , ulat buku pelbagai jenis genre dan mampu berbicara soal telaga sesebuah hati. Perkenalan dengan gadis media sosial itu membuat hari-hari dia bagai di sirami hujan pelangi.

Dia cuba menepis ime- imej kepuasan nafsu, dan cuba meluruskan niat diri. Setiap kali dia gagal menahan nafsu yang membuak, gadis ini berjaya memujuk hati si lelaki agar ingat asal usul niat persahabatan mereka. Gadis itu juga telah melalui denai denai hitam dalam hidupnya, ditinggalkan kekasih yang juga telah meragut makhota bermakna dalam hidupnya.

Hubungan maya dengan gadis itu berlangsung dengan text mesej yang berjela setiap hari hingga berlarutan ke tengah malam. Mereka mengenal hati budi dan memahami penderitaan masing masing. Topik buku kerap menjadi diskusi yang panjang, bercakaran pendapat dan sering berakhir persetujuan ke dua-dua belah pihak. Kedua pasangan kekasih di alam maya ini merasa bahagia kerana ditemuikan dan masing-masing merasa bahagia dengan anugerah ‘pertemuan’ ini

Dan hingga sautu ketika timbul hasrat dia ingin benar-benar menemui gadis maya ini. Dia mencadangkan agar mereka bertemu di sebuah toko buku besar di bandaraya dan mereka boleh mengenali lebih dekat dan berbual panjangan di samping beberapa cangkir  aroma  kopi latte. Dia amat menantikan hari yang penuh debaran kerana akan bertemu dengan  gadis impian, berwajah manis, dengan sosok tubuh peragawati yang jugak berakal bijak. Dia merasakan ini adalah anugerah yang tuhan yang amat bermakna dan tidak pernah diimpikan ia untuk menjadi sebuah kenyataan.

Namun setiap kali perancangan untuk bertemu pasti adalah hal yang menghalang dan aral yang melintang. Dia merancang untuk ke utara ke sebuah bandar di mana gadis itu tinggal dan bekerja. Agar tidak menyulitkan kepada si gadis untuk bertemu. Namun masih juga kehalangan dan tidak menemui kelapangan yang sesuai.

Hubungan maya ini menjadi semakinbermakna, dia kini lebih kuat meletakkan harapan dalam menjalani hari-harinya. Tiada hari yang dilalui mereka tidak berbicara panjang bincang soal hati dan masa depan hidup yang lebih bermakna. Dia merasakan gadis ini adalah anugerah dan cerminan dirinya sendiri . Gadis yang dianggap misteri selama ini bakal menjadi realiti. Seorang teman rohani yang sekian lama di dambakan untuk menjadikan dia seorang laki yang tidak berputus harapan untuk menjadi manusia yang bermanfaat dan mengenal tujuan hidup.

                                                            #########

Sautu hari gadis bertanya kepada lelaki itu  mengapa dia suka akan dirinya. Lelaki itu menjawap, “Saya rasa awak adalah sebahagian diri saya, kerana awak tidak meninggalkan saya diwaktu tahu tentang latar belakang  diri saya yang hitam. Lantas awak terus menyuntik semangat kepada saya.”

“ Tapi kalau saya tidak seperti yang awak lihat digambar yang saya berikan, adakah perasaan itu akan sama” ,  gadis itu cuba menduga.

“ Saya tidak mahu jadi hopkrit, konon diri ini lelaki suci, tapi awak ade rupa yang reduh dan indah pada pandangan mata saya. Namun bila lama mengenali, itu menjadi tidak penting lagi kerana kita mempunyai jiwa yang asimeterik yang sering bergantung di antara satu sama lain”.  Dia menyakini gadis itu.

“Ini bermakna awak boleh terima diri saya seadanya tidak kira apa pun latar diri saya ,begitukan. ' gadis itu sekali mencari keyakinan.

Lantas dia menjawap dengan pantas “Adakah awak masih meragukan ketelusan perasaan saya ini?” .

“Jika saya katakan , apa yang awak lihat di profil FB itu sebenarnya bukan rupa diri saya yang sebenar, apakah perasaan awak masih mempunyai ketelusan?” , gadis itu mula membongkar rahsia dirinya sedikit demi sedikit.

“ Adakah itu benar? Awak menyamar dengan wajah orang lain?  Mengapa perlu awak buat demikian?”

“Bolehkah saya bertanyakan sautu soalan, apakah pandangan awak tentang seorang lelaki yang berminat lelaki yang lain, ya seperti gay yang kita tahu?”

                                           ###########

Dia merasakan keanehan soalan yang cuba diajukan. Timbul banyak spekulasi yang bermain dibenaknya dan hatinya sudah merasakan sesautu yang perlu diberi penjelasan. Adakah dia seorang lelaki yang menyamar dengan profil seorang wanita yang cantik untuk memikat mangsa lelaki yang diminati dan dighairahinya . Perasan sangsi ini merebak bagai api yang pantas dan menjalar.

Akhirnya luahan kepastian terpacul jua daripada gadis itu, “Maafkan saya kerana memang saya adalah gadis itu seperti  yang awak dambakan, cuma saya tidak memiliki tubuh dan rupa redup sepeti diimpikan oleh mata awak itu. Maafkan saya kerana tidak menggunakan batang tubuh saya sendiri kerana dunia mengajar saya bahawa manusia hanya lihat pada indah rupa pandang bukan  padal  kecantikan hati dan akal. Jiwa saya adalah gadis yang awak kenali itu, namun terperangkap dalam tubuh seorang lelaki. Maafkan saya harus berterus terang. Saya rasa bersalah dan awak adalah lelaki  yang jujur dan tidak daya saya meneruskan dusta ini. Maafkan kalau saya ini hanya seorang lelaki berjiwa gadis yang tertaut hati pada lelaki seperti awak.”

Sepintas si lelaki merasakan berada di alam penuh kekeliruan. Langit dirasakan roboh, ditimpa hujan panas bersama bola- bola api yang membelengu.

“Awak berhak memadamkan terus diri saya, buang diri saya jauh di daerah yang paling asing. Saya tahu saya yang bersalah tapi salahkan diri saya hanya mahu seorang yang juga redup dari pandangan mata saya sendiri. Mengapakah orang seperti saya tidak layak, perlu menggunakan sosok tubuh orang lain untuk disukai dan dicintai? Adilkah ini? Saya tahu bila awak sudah melihat diri saya ini,  masih ada kah rindu, masih adakah bicara panjang hingga larut malam . Masih adakah luahan hati yang dalam yang konon  kita ini mempunyai chemistry yang tidak dapat dipisahkan?”

Si lelaki merasa bertambah kaku, dan tiada bahasa yang mampu dibalas kata-kata tersebut. Dia merasa kejujuran pada 'gadis'  telah dipersendakan dan dipermainkan . Atau adakah ini ujian ketelusan diri, namun dia masih terseasat dalam teka teki yang amat mengelirukan.

Manakah bisa kita samakan naluri yang normal seorang lelaki dengan lelaki yang berkecelaruan seperti dia yang menyamar  menjadi gadis itu. 'Adakah ini adil bagi diriku.'

Dia berkata pada  pada 'gadis', “ Awak tidak boleh memerangkap saya begini. Pandangan awak kepada  saya ibarat awak memandang seorg wanita yang memikat hati awak. Tapi sya memandang awak sebagai seorang lelaki, dan perasaan yang terbentuk adalah berbeza”.

Dia masih terkilan dan terkesan atas perbuatan 'gadis' itu. Dia tidak reti untuk meluahkan berang namun dia merasakan amat hiba kerana dipersendakan sedemikian. Perasaan yang mulanya rindu dan sayang kini menjadi dingin dan hampir ke daerah rasa benci. Tapi perasaan rindu dan sayang akan watak gadis yang telah dilakonkan oleh 'gadis ‘ belum terpadam sepenuhnya.

Dalam hati dia berkata 'mungkin inilah selayak buat diri aku, hukuman dari bakul bakul noda yang aku bawak dari seribu lorong dosa. Tidak layak bagi  aku untuk memiliki seorang gadis yang sempurna rupa dan akal  budinya.’

Dan dia akhirnya dia meluah kata pada gadis jelmaan itu, “Kita ditemukan dari sejarah hitam yang sama, dari kekalutan diri yang tak pernah terpadam. Kita ditemukan kerana  kita pernah  menelusuri lorong hitam  yang sama cuma  di daerah yang berbeza. Usah kita mencari salah masing- masing dan salah siapa, mungkin kita perlu bersama - sama menyuluh untuk mencari jalan keluar , ke arah jalan yang lebih bercahaya. Jika diizinkanNya kita mampu dapat kembali ditunjukkan ke jalan yang lurus.

Mereka berdua mengangguk di alam maya,' gadis ' itu berkata “ Baiklah kita mula kan semula perkenalan kita” ....

                                                  ##########

Dan beberapa saat kemudian timbul sebuah keratan mesej di telefon bimbit si lelaki dari 'gadis'  itu. Ia tertulis seperti berikut :

Assalamualaikum..saya hafiz, saya minat buku-buku bacaan dan penulisan awak, boleh kita berkenalan.....


Monday, June 8, 2020

maafkan

Maafkan

Maafkan, kerana masih labuh sauh di parak senja. 

Kerna masih risau dialun ombak, masih resah lemas oleh dalam samudera luas.

Maafkan kerana masih ragu untuk mengibar layar harapan, masih lena oleh rona pesta di pelabuhan.

Maafkan, kerna disayup jauh , melihat destinasi mula kelam oleh kabus dan kabut hati.

Maafkan kerana masih ragu upaya jiwa pelaut tegar, meredah gulungan tikar taufan .

Maafkan, kerana masih bermusim kemarau yg berpanjang, meski tengkukuh setiap hari mengajak belayar.

Maafkan andai masih berpuisi cerita lama, kisah pelaut hampa, perih melawan takdir diri.

Maafkan masih nafi helaan nafas berbaki,  mati sebelum cuba berbakti.

Dan maafkan sekali lagi, tika tirai pentas hampir tutup,  aku baru cuba melakon babak pelaut pengangkat suah dan mula belajar erti utk berlayar.

8 jun 2020 Seremban.