Thursday, June 25, 2020

Bertemu Rozan

'Maka bila lagi nak jumpa ? Dah puluhan purnama menunggu'.

Itu lah whatsapps daripada sahabat seseni, sesastra sejak zaman sekolah. Dan aku tidak mahu terlepas lagi untuk bertemu dengan beliau kali ini. Dengan kebetulan ada urusan di rumah ibu di Ampang. Pasti boleh berborak panjang lagi dengan seribu satu topik. Pastinya juga tentang hal politik, sastera dan buku.

Rozan menetap Taman Koperasi Polis Fasa 2 Batu Muda di Gombak. Telah lama tidak bersekitaran di situ maka jalan ke rumah beliau telah samar -samar dalam ingatan. Hanya dengan bantuan google map mampu kereta aku meluru ke destinasi untuk bertemu Rozan di kawasan rumahnya. Perjalanan tidaklah jauh mana, kurang lebih 25 minit dari Ampang , disingkatkan melalui laluan Hiway DUKE. Ternyata Kuala Lumpur telah jauh berubah dan membangun, dengan simpang -siur hiway bertingkat.

Akhir bertemu juga dengan Rozan , di sebuah kedai makan di tepi jalan , berderetan dengan kedai- kedai di Taman Koperasi Polis Gombak. Aku berlangkah panjang , Rozan bersama dua orang sahabat lain, dan salah seorang adalah Mohamad Daud Mohamad ,  nama seperti  penah aku kenal dahulu.

'Mohamad Daud Mohamad? Bukankah dia nama besar dalam kritikan teori sastera zaman aku berkecimpung dalam dunia penulisan dulu? ' Benakku tertanya. Laaa betulah dia. Memang telah kujangka, jika bertemu Rozan, pasti akan juga bertemu dengan orang-orang hebat lain yang dikenalinya.

Mohamad Daud Mohamad kelihatan bersahaja , berpakaian simple t-shirt dan berjeans. Cermin mata bertali tergantung dilehernya. Rupa beliau tidak sehebat zaman kegemilangan sastera dulu. Namun fikirannya masih petah dan ideanya deras mengalir apabila berbicara. Kami berbicara bermacam-macam hal , sedang Rozan minta diri sebentar kerana ada urusan tentang pengkebumian Allahyarham Subky Latiff, nama seorang lagi  penulis yang tidak kurang hebat satu ketika dulu. Aku bertanya pada Pak  Daud masihkah beliau menulis atau ada mengarang karya-karya kreatif . Jawapnya dengan nada yang agak sedikit kecewa,  " Masihkah kita ada khalayak pembaca karya-karya yang berat, pembaca tegar kini hanya segelintir. Natijah yang hendak disampaikan tidak berkesan lagi melalui penulisan. Mungkin kini orang ramai minat politik, tapi memunggah soal politik dalam penulisan hanya akan membuka pekung bangsa sendiri."

Borak bersahaja dengan Pak Daud banyak ungkap kisah sasterawan dulu yang kini namanya seakan pudar di khalayak pembaca. Saya tersenyum puas bila Pak Daud banyak bercerita tentang  Pak Arena Wati yang beliau anggap penulis Avant Garde tulen yang melayu penah lahirkan. Dia dengan nada sayu meluahkan rasa hampa tentang pengabaian masyarakat sastera untuk menghayati karya Bapak Arena Wati. Sempat juga aku bertanya pada Pak Daud siapa gerangan bakal sasterwan negara ? Dengan selambanya dia menjawap selayaknya adalah Malim Ghazali PK, namun tuhan telah menjemputnya lebih awal. Kini serasa tiada siapa yang paling layak lagi.

Seketika kemudian, Rozan kembali dari urusan beliau dan mendampingi kami berdua dalam bicara kedai kopi tepi jalan. Pak Daud kemudian mengundur diri, kerana ada urusan lain. Aku dan Rozan bercadang mencari tempat lebih sesuai untuk sambung borak panjang. Lantas kenderaan aku meluru mencari spot di Setapak Mall. Temui sebuah cafe yang selesa dan menjamah sadwiches sebagai makan tengahari ala orang diet.

Rozan berkongsi beberapa karya penulisan beliau, iaitu naskah tulisan di dalam antologi esei. Aku sempat menjamah tulisan Rozan kesemuanya. Menurut Rozan dalam 5 tahun  kurang lebih 8 penulisannya berjaya tercatat dalam penerbitan buku. Aku amat bangga kerana aku satu pun tiada. Antara buku yang dibawa oleh Rozan yang memuatkan penulisan beliau adalah Corat-coret Pesta Buku Antarabangsa, Semangat Darah Muda dan  Apa Yang Lebih Membahagiakan. 

Mungkin soalan yang lebih bergejolak yang ingin ditanya kepada Rozan adalah tentang politik. "Apakah sebenarnya yang telah terjadi dengan politik kita? , apakah permasalahan akar umbinya?"

"Semua sedar tentang wujudnya 2 kem dalam PKR , satu kem Azmin dan satu lagi kem Rafizi. Apabila Azmin berjaya mengatasi Rafizi wujud pertentangan yang mula membuak. Bila Anwar dibebaskan, dia telah melantik puak-puak Rafizi dulu di dalam parti yang kini mula kembali menentang Azmin. Pada aku ia berpunca kegagalan Anwar untuk mengawal parti. Anwar ambil mudah dalam meredakan golongan- golongan yang mula bertelagah. Bila video Azmin tersebar, Anwar seperti tidak mahu mempertahankan Azmin dalam tuduhan skandalnya. Kem Azmin merasakan bahawa Anwar telah dipengaruhi oleh puak-puak  Rafizi dahulu yang dia sendiri telah bawa ke dalam parti." Rozan berhujah serius.

Aku meneliti penjelasan Rozan dangan setia dan diam. Mengangguk dan mula memahami apa yang sedang berlaku. Ini analisa first handed daripada seorang sahabat yang benar -benar pernah jatuh bangun dalam memperjuangkan reformasi. Bagiku ini satu pemahaman yang berguna tentang politik tanah air, bagi orang layman seperti aku.

Rozan dulu merupakan Naib Ketua Cabang dan mantan Setiausaha Politik Timbalan Menteri Pertanian. Satu pencapaian yang aku bangga sebagai kenalan rapat sepersekolahan. Kini beliau agak terkapai setelah pergolakan parti PKR dan lantaran ambil alih kerajaan baru. Jawatan Rozan sebagai naib ketua cabang digantung dan kini beliau  mencari sumber rezeki dalam bidang perniagaan dengan kenalan. Ini mungkin menjadi platform baru bagi beliau untuk berganjak maju dalam bidang ini dan juga boleh menjadi batu loncatan untuk perjuangan politiknya.

"Sekarang kita perlu meluaskan jaringan pelbagai bidang dalam pemahaman politik. Contoh seperti group whatsapp NGO yang aku  cetuskan sendiri. Ia bermatlamat untuk memberi ruang kepada para seniman dan karyawan dalam mencicipi kancah politik negara terkini. Aku berhasrat melahirkan golongan seniman dan karyawan yang celik politik dan hangat menghasilkan gagasan baru  dalam menentang ketidak- adilan politik."

Aku amat bersetuju dengan fikiran Rozan. Kita kini perlu bersifat Inter-dependent dalam memacu negara, agar tidak ada bidang yang akan tubuh pulaunya sendiri, tidak merasa diri di dalam kasut orang lain. Akan wujudnya hambur fitnah, lekehen yang tidak berkesudahan kerana gagal memahami kebenaran yang sebenar dari sudut yang berbeza.

Dalam dunia perniagaan pula Rozan kini menghadapi pelbagai isu pengurusan sumber manusia. Ternyata di alam bisnis ada cabar cemasnya tersendiri. Dia banyak menghadapi kerenah pekerja yang memberontak disebabkan masalah pengurusan dalaman. Terdapat juga pekerja yang mula angkat tangan ingin mengundur diri . Tak sanggup untuk jatuh bangun dalam memperjuangkan bisnis ini. Rozan banyak menyelesaikan masalah dalaman , terutamnya jurang komunikasi antara superior dan pekerja. Bagi aku Rozan telah menjadi HR Manager yang berhemah dan berjaya. HR adalah bidang akademik kepakaran aku. Bidang yang perlu banyak menggunakan common sense dalam menguruskan manusia yang mempunyai pelbagai gejolak perasaan.

Aku tidak dapat untuk berlama- lamaan dengan Rozan pada kali ini kerana terpaksa bergegas ke Seremban. Bertemu Rozan adalah urusan rutin yang telah aku lama diabaikan. Aku menghantar Rozan hingga pintu rumah di Lorong 47/10 Taman Koperasi Polis. Kami bercadang bertemu lagi, kali ini bercadang untuk berkunjung ke rumah guru guru sekolah zaman menegah.

Sejenak kereta aku meluru jauh dari rumah rozan, aku sempat melihat kelibat beliau dari side mirror kereta. Rozan yang sentiasa berpakaian formal, berkemeja kemas, rambut lembab bersikat rapi. Gaya yang tidak sedikit pun berubah sejak zaman sekolah di SJI Bukit Nanas. Dan dia juga tetap Rozan yang aku kenal yang  masih tidak berganjak sedikit pun memperjuangkan reformasi demi negara tercinta.

No comments:

Post a Comment