Sejak enam puluh tahun dulu, Israel sering mendapat sokongan dari negara- negara Barat yang kononnya mendukung prinsip-pronsip demokrasi dan hak asasi manusia. Bahkan jenayah yang terang-terangan dilakukan oleh regim Israel terhadap rakyat Palestin khususnya sentiasa dilindungi oleh kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat. Sebaliknya Israel pula yang digambarkan sebagai mangsa dalam percaturan politik timur tengah. Media barat memainkan peranan utama di dalam membentuk pandangan umum yang palsu terhadap hakikat Israel yang sebenar Melalui media elektronik, cetak dan kini media internet, Israel digambarkan sebagai mangsa yang sentiasa terdedah kepada ancaman pengganas dan negara-negara Arab yang siap untuk menghapuskan entiti yahudi zionis itu dari peta dunia.
Untuk membuat penilaian objektif, sejarah kewujudan Israel itu sendiri perlu ditelusuri. Deklarasi Balfour yang diluluskan dalam Parlimen British pada tahun 1917 adalah babak awal kepada terciptanya entiti ekslusif Yahudi di atas bumi Palestin Hasrat gerakan Zionis antarabangsa yang diterajui oleh tokoh Yahudi sekular yang terkenal iaitu Theodor Hertzal menjadi kenyataan selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan ratusan ribu bangsa Yahudi membanjiri negara Palestin dengan restu dan sokongan Amerika Syarikat. Pergeseran dengan penduduk Arab tidak dapat dibendung lagi sehinggalah PBB yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun 1945 meluluskan Resolusi 181 yang membahagi negara Palestin kepada wilayah Arab (penduduk yang asal) dan wilayah Yahudi (pendatang dari Eropah) kepada nisbah 45% : 55% British yang mentadbir Palestin sejak tahun 1917 keluar dari Palestin pada 14 April 1948 dan pada keesokkannya Israel diistiharkan oleh Perdana Menteri yang pertama David Ben Gurion. Ini mencetuskan peperangan dengan penduduk Arab yang berakhir dengan kemenangan Israel. Israel menawan lebih banyak lagi kawasan dari apa yang diperuntukkan oleh Resolusi 181 iaitu sebanyak 77% wilayah. Sebuah persetujuan yang ditaja oleh Amerika Syarikat iaitu Rhodes Armistice (Perjanjian Damai Rhodes) pada tahun 1949 meluluskan tambahan wilayah yang dikuasai oleh Israel Tindakan ini jelas menyalahi Resolusi 181 di mana PBB hanya memperuntukkan 55% sahaja dari negara Palestin kepada pandatang Yahudi.
Perang 1948 juga mencetuskan krisis pelarian paling besar dalam sejarah Sekitar 800.000 rakyat Palestin diusir keluar oleh pengganas-pengganas Yahudi setelah mereka ditakut-takuti dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai penduduk Arab di banyak tempat seperti di Deir yassin (Wikipedia 2011). Untuk menyelesaikan krisis pelarian Palestin PBB telah bersidang dan meluluskan Resolust 194 (III) yang memberi keizinan kepada pelarian Palestin kembali ke rumah-rumah mereka. Kini setelah 61 tahun resolusi ini diluluskan Israel masih tidak membenarkan pelarian tersebut pulang Kini bilangan pelarian Palestin di khemah-khemah pelarian di Jordan, Syria dan Lebanon telah mencecah lebih dari lima juta orang.
Pada tahun 1967, Israel melancarkan serangan mengejut secara serentak ke atas Genting Gaza, baitul Maqdis Timur, Tebing Barat, Tanah Tinggi Golan (Syria) dan Semenanjung Sinai (Mesir). Dalam tempoh enam hari Israel menguasai 23% lagi dari wilayah Palestin yang tinggal. Sejak dari 6 Jun 1967 sehingga kini Israel terus menduduki baitul Maqdis timur di mana terletaknya Masjid-ul-Aqsa, seluruh Tebing Barat dan Semenanjung Gaza Israel hanya berundur dari Gaza pada tahun 2005 dan kemudian kembali mengepung Gaza sejak tahun 2007 sehingga hari ini. Sebaik sahaja Israel menduduki wilayah-wilayah tersebut pada tahun 1967, PBB telah bersidang dan memutuskan Resolusi 242 yang mengistiharkan pendudukan tersebut tidak sah dan Israel wajib berundur ke garisan Hijau seperti yang dipersetujui dalam perjanjian Rhodes pada tahun 1949. Sehingga hari ini Israel masih berdegil. Ini bermakna apabila Hamas menawarkan kepada Israel untuk berundur dari tebing Barat dan baitul Maqdis timur serta menghentikan kepungan ke atas Gaza, ia adalah satu penegasan kepada Resolusi 242, tidak kurang dan tidak lebih dari itu. Jika Israel bersedia untuk berbuat demikian Hamas dan rakyat Palestin bersetuju untuk menimbangkan gencatan senjata jangka panjang yang akan membawa keamanan berpanjangan sehingga penyelesaian ke atas status muktamad negara Palestin ditemukan (Zin Mahmud 2007)
Israel telah mengistihar Baitul Maqdis sebagai ibu negara abadi Israel pada 30 Julai 1967. Pengisytiharan Israel ini diperakui oleh pentadbiran Bush apabila Presiden Bush menandatangani The State Department authorization Act (HRH 1646) pada 30 September 2002, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Presiden-Presiden sebelum beliau. Bertentangan dengan resolusi antarabangsa dan persetujuan dengan Palestin, pentadbiran Bush tunduk kepada tekanan Kongres untuk menerima dakwaan Israel ke atas Baitul Maqdis sebagai ibu negara yang satu dan abadi (bagi Israel) Natijah dari akta tersebut, arahan dikeluarkan agar semua dokumen rasmi Amerika Syarikat mesti merujuk Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Pengisytiharan ini langsung tidak mengendahkan Resolusi 237 PBB yang menolak pendudukan Baitul Maqdis dan pengisytiharan Israel sebagai ibu negaranya, dan juga Resolusi 405 yang diterima pada tahun 1988 yang secara jelas memperakui Baitul Maqdis sebagai wilayah Palestin yang diduduki.
Kini Israel mengenakan sekatan ekonomi menyeluruh dan mengepung Gaza dengan menutup semua laluan udara, laut dan jalan darat sejak dari tahun 2007. Kepungan ini telah menjerumuskan Gaza ke dalam krisis makanan, ubat-ubatan dan lain-lain bahan keperluan asas yang amat parah, Amerika Syarikat yang kononnya mempertahankan hak asasi manusia berdasarkan Deklarasi hak Asasi Manusia sejagat (Universal Human Rights Declaration 1948) hanya melihat sahaja tindakan biadap Israel mengenakan sekatan ekonomi ke atas gaza, bahkan melakukan serangan paling ganas ke atas gaza pada penghujung tahun 2008 dan awal tahun 2009 Serangan ganas ni telah menyebabkan 1.500 penduduk Gaza terbunuh (separuh dari mereka adalah wanita dan kanak-kanak) Tindakan mengepung Gaza sendiri adalah menyalahi Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1860 di mana saluran barangan keperluan dan agihannya di seluruh Gaza mestilah berlaku tanpa sebarang sekatan, dan ini termasuk makanan, bahan api dan keperluan perubatan.
Inilah sebahagian dari pelanggaran-pelanggaran undang-undang dan peraturan antarabangsa yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh Israel. Jelaslah bahawa Israel lah yang sebenarnya menjadi punca kepada konflik di Palestin dan dunia harus sedar bahawa rakyat Palestin hanya mempertahankan hak mereka yang diakui oleh badan dunia PBB Kini adalah menjadi tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk membela rakyat Palestin di dalam perjuangan mereka yang sah dari sudut undang-undang dan peraturan antarabangsa.
No comments:
Post a Comment