Sepanjang perjalanan hidup setakat
ini, banyak cerita suka dan duka bersilih ganti. Aku tidak mampu untuk
mengira mana yang lebih kerana rata-rata duka itu tekadang membawa
bahagia. Terkadang juga gembira dan senyum tawa itu membawa kepada duka. Maka
dalam kedua-duanya aku mencari titik kebahagian yang tersirat seribu
makna. Kujadikam ia khazanah berharga untuk membuat hidup aku aku
lebih bererti.
Bila di bangku sekolah menegah, minat aku mula bercambah di dalam bidang
penulisan dan kesusasteraan. Hinggakan aku dan seorang sahabat menubuhkan
sebuah kumpulan sastera yang dinamakan 'Anak Alam' . Maka pada setiap kali
minggu bahasa, kumpulan Anak Alam akan beraksi dengan persembahan pentas drama
dan deklamasi puisi. Aku juga tidak lupa setiap kali ade aktivitas
sastera di sekitar Lembah Kelang. Masih aku ingat sekitar tahun 90an
persembahan teater di MATIC Jalan Ampang, di Kompleks Budaya Negara (ketika baru
dirasmikan) dengan drama pentas 'Penyu Menangis' dan 'Wild Duck' karya Henry
Ibsen. Beberapa kali mengikuti bicara dan bedah buku di Dewan Bahasa , sempat
bertemu dengan penulis-penulis hebat seperti A. Samad Said dan Arena Wati.
Berkunjung ke toko buku juga menjadi rutin kegemaran aku. Masih aku ingat
memborong buku ketika jualan murah di DBP dan Pesta Buku Antarabangsa. Minat
kepada penulisan sastera semakin bercambah dan aku mula menulis karya-karya
sendiri yang sedikitnya ada dimuatkan di dalam majalah sekolah. Inilah
kebahagian aku pada ketika itu dan aku menyimpan cita-cita untuk melanjutkan
pelajaran dalam bidang sastera apabila telah tamat persekolahan kelak.
Keputusan SPM telah muncul dan aku mendapat keputusan yang agak memuaskan untuk
melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Tidak lain, aku memilih
jurusan Kesusasteraan Inggeris di sebuah universiti tempatan. Namun aku tidak
mendapat sokongan yang kuat daripada orang tua aku yang menganjurkan aku
mengambil bidang perniagaan atau sains pengkomputeran. Kebetulan juga pada
waktu, terdapat tawaran bagi pengambilan intake pertama akademi tentera.
Lebih-lebih lagi orang tua juga berkhidmat dalam bidang tentera, maka mereka
amat berharap aku dapat mengikut jejaknya yang waktu itu amat berjaya dalam
profesi ketenteraan. Aku menjadi berbelah bagi, kerana tawaran di dalam bidang
kesusteraan telah diterima dan pada masa yang sama hasrat orang tua begitu
menggunung untuk aku menjadi seorang pegawai tentera. Aku berfikir panjang ,
tentang keputusan yang bakal dipilih. Bidang penulisan atau sebuah bidang yang
tidak pernah wujud dalam kotak fikiran dan sanubari iaitu ketenteraan. Mungkin
tidak masuk akal bagi diriku yang berpakaian uniform memberi arahan tegas
kepada orang bawahan . Jiwaku tidak pernah terfikir akan memilih bidang
tersebut dan adalah mustahil untuk aku jatuh cinta kepada profesyen yang
sedemikian budayanya. Aku menjadi begitu tertekan, kerana tidak sanggup
melepaskan sesautu yang amat aku minati dengan sesautu yang terlalu asing untuk
aku ceburi.
Maka ketika itu, aku langkah kan juga untuk pergi menghadiri sesi pemilihan
kadet akademi tentera di Kuantan. Ayah tidak dapat dapat menghantar aku kerana
dia terlebih awal telah berlepas ke tanah suci untuk menunaikan fardu Haji.
Sesi pemilihan agak mencabar dengan menguji kemampuan intelek dan fizikal ,
namun tidak disangka aku berjaya melepsi semua sesi ujian yang diadakan . Aku
berjaya hingga ke peringkat temuduga akhir dan kemudian ditawarkan untuk
mengikut pengajian selama 5 tahun di akademi ini. Setelah tamat latihan dan
pengajian, aku akan ditauliahkan sebagai seorang pegawai di dalam perkhidmatan Angkatan
tentera. Setelah melangkah keluar dari dewan temuduga, fikiran ku masih
berbelah bagi untuk menerima tawraran itu.
Aku diberi masa beberapa hari untuk membuat keputusan . Dalam tempoh
seminggu aku perlu melapor ke pusat latihan tempur tentera darat di Ulu Tiram,
Johor Baru untuk memulakan latihan.
Aku masih berbelah bagi untuk membuat keputusan . Selang sehari kemudian ayah
telah meghubungi aku melalui telefon dari Tanah suci Mekah dan bertanyakan
tentang sesi pemilihan tempohari. Ayah begitu gembira bila mendengar aku telah
berjaya melepasi semua ujian dan mendapat tawaran tersebut. Dalam samar-samar
suara ayah aku mendengar betapa tinggi harapannya untuk seorang daripada anak
mengikut jejak langkahnya. Sedangkan aku anaknya ini masih ragu-ragu di dalam
hati. Ayah dalam nadanya yang tidak pernah memaksa aku menjadi pegawai tentera,
namun aku amat memahami hasrat yang terlubuk di dalam hatinya.
Akhirnya naluri aku berkata sendiri, ' Apakah yang lebih bahagia dalam hidup
daripada membahagia kedua orang tuamu' . Dengan dorongam semangat bisikan
itu, pada 5 Jun 1995, keretapi meluru deras dari Kuala Lumpur ke Johor
membawa aku ke satu dunia baru yang tidak pernah ku fikirkan. Aku meninggalkan
minat yang penah terpendam selama ini .Aku telah memilih sebuah dunia
kehidupan baru yang telah mengubah nasib ayahku satu ketika dulu.
Kini 25 tahun telah berlalu, arwah ayah telah lama meninggalkan kami
sekeluarga. Aku kini memahami hasrat ayah dahulu yang inginkan anak mengikut
jejaknya. Hidup aku di dalam perkhidmatan tidaklah mewah ruah namun sentiasa
cukup dengan rezeki tidak terputus. Namun mungkin aku tidak berjaya seperti
kedudukan pangkat arwah ayah dalam perkhidmatan. Bila setiap kali menziarahi kubur
ayah, aku mengharap dia tersenyum bangga dengan diriku. Teringat satu ketika
dahulu semasa di akhir-akhir hayat ayah, pernah dia berkata kepada seorang
sahabatnya , sambil memperkenalkan aku, '.. ini anak aku , dia seorang pegawai
tentera, berpangkat Mejar sekarang..
Apa lagi yang lebih membahagiakan......
No comments:
Post a Comment