5 Julai 1957
Aku karang warkah ini pada subuh
hari ulang tahun kelahiranku. Aku ingin coretkan
beberapa baris catatan gembira dan
bahagia. Betapa syukur amat kerana tidak
beberapa lama lagi engkau bakal
dibebaskan sebagai sebuah negara
yang merdeka. Amat sulit untuk dilukis tentang harapan di dalam benak aku. Untuk aku isi perjuangan yang masih belum
selesai sebagai sebuah negara yang akan mula belajar berdiri di kaki sendiri.
Mungkin bakal juga berdiri sama tinggi dengan negara dan bangsa maju yang lain.
Aku sedar betapa syarat-syarat
British itu amat meluluhkan hati mu,
Malayaku. Namun kita tiada jalan lain selain bersatu. Ketepikan
kepentingan perkauman dan memilih jalan mengorak
kemajuan dan melupakan luka duka yang lepas. Tunku baru pulang dari London,
banyak syarat-syarat yang
mempersendakan mu. Mereka masih mahu engkau akur perjanjian Anglo
Malayan Defence and Mutual Assistance Treaty. Ditambahi lagi engkau masih
kekal di bawah cengkaman Commanwealth and
The Sterling Bloc, yang bermakna engkau perlu pertahankan matawang mereka
andai merudum. Bukan itu saja, engkau juga perlu mempertahankan terus pelaburan
mereka di tanah ini. Serta mengizinkan mereka dan pelabur asing membawa pulang keuntungan balik ke negara masing-masing.
Engkau terpaksa akur bahawa kebebasan mu masih dilabel neo-colonialism. Namun aku
anggap British silap. Syarat –syarat yang
British anggap tidak mampu kita
kotakan. Bahkan untuk memecah belahkan
kepercayaan sesama kaum , tapi kita
pilih untuk bersatu memegang erat bersama . Aku bangga dan bersyukur kepada
Tuhan, kerana kita tidak memilih untuk
bertelagah apatahlagi menumpah darah di sepanjang jalan-jalan akhir menuju
kebebasan ini.
Malayaku, kita perlu berikrar
bersama untuk membina kembali tanah bertuah ini. Biar dengan cara dan adunan kita sendiri . Aku sedar, kita bakal hadapi pelbagai
segi masalah dalam proses kemajuan dan kematangan. Namun ingatlah bersungguh di dalam benak fikiran bahawa keadaan kini dan
masa hadapan akan bergantung kepada kebersamaan dan toleransi sesam kita. Dan
kita jangan sesekali lupa bahawa tidak kira sapa , ingat lah bahawa negara kita
ini adalah milik bersama dan bukan hanya percaturan seorang pemimpin tapi
seluruh rakyat jelatanya. Tanah bertuah ini menuntut saling kepercayan dan harapan yang dikongsi bersama. Aku amat percaya kepada kemampuan dan kebolehan
kaum bangsaku masing-masing. Aku mahu melihat warga pelbagai bangsa tanah ini membesar sebagai saudara satu sama
lain.
Jika dahulu pihak penjajah letak
syarat untuk bebas, kita perlu juga
meletakkan syarat dan janji-janji kepada diri sendiri untuk benar-benar menikmat kebebasan yang
lebih tulen. Pertama adalah hasrat yang
utuh untuk membina sebuah negara yang
disulami kesaksamaan dan rasa bangga.
Berikutnya adalah menjadi sebuah negara yang memiliki warga bangsa yang
tulus setia sebagai satu bangsa baru
yang bebas bukan sahaja dari segi zahir tapi juga minda. Kita juga perlu sematkan di dalam sanubari
masing-masing untuk hidup bersama dan berkongsi bahagian dalam satu ikatan
persaudaraan yang tidak mungkin dapat dileraikan. Bak pepatah air dicincang tidak akan putus. Kita membina negara ini atas asas demokrasi bersama
bagi pelbagai kaum dan kepercayaaan. Namun
tetap hidup penuh dalam keharmonian dan
keamanan. Biarlah negara ini kita
jadikan sebagai satu panduan kepada dunia luar bagaiamana kepelbagaian kaum mampu
hidup bersama bertunjang matlamat yang
satu dan kepentingan untuk semua.
Ku sedari kita tidak akan
terlepas daripada yang pihak yang cenderung mencetus pergolakan dan onar. Pihak
dari segelintir kalangan kita sendiri,
yang mencelarukan intipati
perjuangan yang sebenar. Kita perlu berhati-hati, walau mempunyai ramai warga
bangsa yang ikhlas tulus memperjuangkan kebebasan ini , golongan yang
segelintir ini menjadi dalang kehancuran yang l merbahaya jika tidak disedari.
Engkau bukan sahaja akan menghadapi pergolakan etnik berlabel
bangsa, malah sentimen agama
juga potensi menjurangkan hasrat hormani yang ingin
dicapai. Hari ini kita bersatu atas sebab pegangan suci kepercayaan masing-masing, yang menuntut penganut menghormati perasaan dan sensitiviti sesama.
Malaya, aku amat berharap jika
satu hari nanti bila engkau telah berdiri gah , mencapai kejayaan demi
kejayaan, bilamana tanah ini melimpahkan hasil yang subur yang lumayan, bangsa-bangsa
mu tidak lupa dimana ia bermula. Kenikmatan
dan kesenangan yang tidak disyukuri sering membuat kita menjadi lupa dan rakus terpesong dari landas matlamat yang sebenar.
Semoga wargamu sentiasa ingat peristiwa kebebesan tanah ini yang telah dituntut
daripada keringat dan titisan darah. Dan
lebih besar adalah pengorbanan mengenepikan identiti kaum dan
bangsa demi niat hidup bersatu bersama.
Engkau pasti bersetuju jika kita
aku kata tiada yang lebih bernilai
daripada belajar tentang sejarah jatuh
bangun bangsa sendiri . Hampir 5 abad
kebebasan didambakan kini hampir hampir menjadi kenyataan. Semoga kita sentiasa ingati
sejarah ini: Kisah sebuah bangsa dan negara yang dulu bergantung pada penjajah. Kini mereka merdeka
dan bebas. Namun mereka masih tetap bergantung , namun bukan kepada sesiapa, tapi sesama mereka. Selamat bakal menyambut Merdeka
Malayaku !
(Beberapa minggu setelah catatan warkah ini, di pagi
renyai yang mengembuni perhimpunan penuh makna tanggal 31 Ogos 1957,
laungan MERDEKA gagah berkumandang . Ketika laungan, Tunku mengangkat tangan bersama
empat jari dirapatkan sebagai tanda kesatuan bangsa dan kaum, matahari cerah
menjenguk di sebalik awan putih tanah Malaya)